kawan lama akhirnya kita bersua kembali
dua tahun kau meninggalkanku
tanpa ragu memutuskan tidak lagi memerlukanku
melupaiku yang menemani saat dunia berpusing tanpamu
lalu engkau bermegah dengan teman barumu
menyarung pencapaianmu ibarat penanda pangkat
mengumpul pingat menyarung jubah melempar cat
diangkat wira oleh kawan-kawan rapat
walau kita lama tak bersua muka
yakinilah bahawa aku selalu ada
di dasar botol di kerusi penumpang
duduk di meja kerja sewaktu kau di pejabat
di kerusi kosong gelanggang yang sepi
mencongak waktu, menanti memerhati
sekarang kau akan meninggalkan semua itu
dan kembali semula ke dakapanku
kan kukunci jarijemariku rapat dan erat
hanya kau dan aku, sejuk dan sunyi
menyertai khalwat yang tiada penghujung
menjadi pasangan yang tiada pisahnya